Monday 28 April 2014

TIPS PENYUSUAN - 10 PERSEDIAAN Jayakan Penyusuan SUSU IBU

Ramai wanita hamil menganggap penyusuan susu ibu adalah sesuatu yang semula jadi. Hakikatnya, ia perlu dipelajari. Tanpa adanya ilmu yang mencukupi, anda berkemungkinan gagal menepati sasaran menyusukan bayi seperti yang diimpi. 

10 persediaan yang anda perlu tahu adalah :

1. NIAT DAN AZAM
Kedua-dua aspek ini sama penting dalam membantu anda menjayakan penyusuan susu ibu. Niat    dan azam yang ditanam tidak akan mudah goyah jika anda mempersiapkan diri dengan ilmu penyusuan susu ibu yang lengkap. Segala cabaran dapat anda atasi kelak, anda lebih mengutamakan niat dan azam berbanding lainnya. 

2. CARI MAKLUMAT
Sepanjang hamil, dapatkan maklumat berkaitan sebanyak mungkin agar dapat membantu anda memahami konsep penyusuan susu ibu dengan baik. Salah satu konsep asas yang perlu anda ketahui ialah sekerap mungkin payu dara dikosongkan, semakin banyak susu ibu dapat dihasilkan. Tambahkan ilmu dengan mencari maklumat daripada pelbagai sumber seperti buku, majalah, laman web, blog, forum, ibu-ibu yang berpengalaman mahupun perbincangan dengan kounselar laktasi bertauliah. 

3. AMAL PEMAKANAN SIHAT
Pemakanan sihat perlu diamalkan sepanjang tempoh kehamilan dan harus berterusan semasa anda menyusukan bayi kelak. Pastikan anda makan dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap. Selang-seli waktu makan utama dengan mengambil snek berkhasiat. Dalam masa yang sama, pastikan menu anda mengandungi protein, kalsium, vitamin, dan lain-lain dalam kadar yang seimbang. Dengan cara sebegini, anda dapat memenuhi keperluan tubuh untuk menghasilkan susu ibu yang berkualiti buat bayi kelak.

4.KELAS PENYUSUAN SUSU IBU
Adalah satu langkah yang sangat bijak jika anda menghadiri kelas penyusuan semasa hamil lagi. Anda boleh memilih kelas penyusuan di hospital atau klinik kerajaan yang sering diadakan secara percuma. Selain daripada itu, anda juga boleh memilih kelas berbayar di mana kebanyakannya dikendalikan oleh kaunselor laktasi bertauliah. Sebaik-baiknya hadiri kelas berkenaan bersama-sama suami supaya dia juga boleh memahami konsep penyusuan susu ibu. Dengan yang demikian, anda sudah pasti mendapat sokongan penuh daripadanya yang sangat berguna ketika anda berhadapan dengan cabaran-cabaran di masa akan datang. 

5. HOSPITAL BERSALIN PILIHAN
Hal ini perlu dititikberatkan kerana Hospital Rakan Bayi akan menyokong sepenuhnya usaha secara ekslusif. Antara lain, sebelum melahirkan, bincang dengan doktor yang memeriksa kehamilan tentang keinginan anda menyusukan bayi sebaik kelahirannya nanti. 

6. DAPATKAN SOKONGAN
Kongsi niat anda untuk menyusukan bayi sepenuhnya dengan susu ibu bersama suami, ahli keluarga dan rakan-rakan. Nyatakan juga hasrat anda untuk mendapat sokongan sepenuhnya daripada mereka. Oleh itu, banyakkan berbincang tentang perancangan yang bakal dilakukan dan pada masa yang sama, bersama-sama lengkapkan ilmu agar semua sedar dengan peranan masing-masing dalam membantu anda menjayakan penyusuan susu ibu.

7. KELENGKAPAN PENYUSUAN SUSU IBU
Langkah untuk melengkapkan semua peralatan yang diperlukan untuk membantu anda menyusukan bayi dengan lancar kelak perlu disediakan dengan sebaik-baiknya. Antara kelengkapan tersebut termasuklah coli penyusuan, pelapik payu dara, kain pelindung penyusuan dan lain-lain. Bagi yang bekerjaya, anda perlukan pam payudara, bekas penyimpanan susu ibu, beg pendingin, pek ais, peti sejuk dan sebagainya. 

8. KEBERSIHAN PUTING
Pada trimester akhir kehamilan, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk kerap membersihkan puting payu dara. Setiap kali mandi, cuci puting dengan menggunakan tuala muka kecil yang direndam di dalam air suam terlebih dahulu. Sewaktu mencuci, elakkan penggunaan sabun. Apabila puting dibersihkan, ia tidak lagi tersumbat dan memudahkan pengaliran kolostrum buat pertama ksali selepas bayi dilahirkan nanti. Pada masa yang sama, anda digalakkan untuk menarik keluar puting secara lembut dan menyikat kedua-dua belah payu dara menggunakan sikat rambut secara perlahan-lahan. 

9. KENALI PAYU DARA 
Mengenali payu dara sendiri adalah penting agar anda dapat mengetahui rupa bentuknya. Jika ia  tenggelam, sejak dari awal anda akan dapat mengambil langkah penyelesaiaan masalah. Bagi mengenal pasti bentuk payu dara, adakah normal atau tenggelam, apa yang perlu anda lakukan adalah menekan puting payu dara dengan tapak tangan selama dua minit. Kemudian, lepaskan. Jika puting kembali seperti biasa, itu beerti payu dara anda normal. Jika tiada apa-apa perubahan selepas lama menunggu, itu bermakna anda mempunyai masalah puting tenggelam. 

10. YAKIN DIRI SENDIRI
Sikap positif dan yakin pada diri sendiri amat penting dalam memastikan usaha menjayakan penyusuan susu ibu mencapai matlamatnya. Sentiasa percaya pada diri sendiri bahawa anda mampu menyusukan bayi sejurus selepas dia lahir. Pedulikan kata-kata negatif yang boleh mengganggu usaha anda itu. Ingat selalu, pengeluaran susu ibu adalah berasakan konsep pemintaan dan penawaran. Jadi, susukan bayi sekerap mungkin sebaik kelahirannya. fahami juga bahawa pada awal kelahiran bayi hanya mendapat koostrum. Selepas hari ketiga, barulah susu matang berupaya dikeluarkan. Jadi, keraplah susukan bayi dan sentiasa positif bahawa susu anda cukup untuk keperluannya. 

SELAMAT MENCUBA!!

Sms/Whatsapp: 012-6930770
Email: mamafarzana77@gmail.com

** COD AREA : Taman Tuanku Jaafar, Taman Pinggiran Senawang, Seremban Jaya, Seremban Selatan, Seremban Jaya, Taman Bandar Senawang, Taipan Senawang, Taman Tasik Jaya, Seremban, Senawang dan kawasan sekitarnya. 

0 comments:

Post a Comment